Showing posts with label ISU AKIDAH. Show all posts
Showing posts with label ISU AKIDAH. Show all posts

Tuesday, October 21, 2008

Isu Ajaran Sesat Di Kalangan Umat Islam...

Dunia kini semakin maju segala benda ingin dikejar tanpa difikirkan terlebih dahulu adakah sesuatu yang ingin dilakukan itu dibenarkan di dalam Islam dan adakah tindakan tersebut selaras dengan apa yang terkandung di dalam ajaran Islam. Kehidupan hari ini telah berubah, semakin ramai orang cerdik pandai semakin ramai orang yang mengamalkan ajaran sesat.

Isu ajaran sesat bukanlah isu yang baru ingin diperkatakan, akan tetapi ianya merupakan isu yang sudah lama dan ianya juga telah diketahui umum. Apa yang peliknya disini, walaupun sudah mengetahui tentang ajaran sesat tersebut, tetapi malangnya ajaran sesat ini tetap mendapat perhatian daripada sesetengah golongan umat Islam. sungguh sedih kita mendengarnya walaupun ajaran agama Islam ini tidak sesekali membebankan umatnya, namun terdapat juga segelintir umat Islam yang merasakan ajaran Islam ini susah untuk dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian mereka. Bagi mereka ada sahaja peraturan-peraturan dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam, terutamanya berkaitan solat dan puasa.

Jika kita renungkan sejenak, mengapakah penganut agama Islam ini terlalu sukar untuk mematuhi ajaran agama Islam itu sendiri sedangkan ajaran agama Islam inlah yang paling mudah untuk dilaksanakan berbanding ajaran agama-agama lain. Tambahan pula sudah diketahui bahawa agama Islam ini merupakan agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t. Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, penganut agama lain begitu sukar untuk meninggalkan agama mereka sendiri walaupun telah jelas di depan mata mereka bahawa agama yang mereka anuti tersebut tidak mempunyai matlamat akhir. Kita sebagai umat Islam sepatutnya memiliki sifat seperti penganut agama lain yang begitu setia pada agama mereka sendiri walau apa pun yang terjadi.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan mereka tertarik dengan ajaran sesat ini kerana ajaran ini tetap melaksanakan apa yang disuruh di dalam agama Islam akan tetapi ianya sangat mudah, yang mana mereka hanya perlu kepada niat semata-mata dalam menunaikan ibadah tersebut konon-kononnya bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:

“Setiap amalan itu dimulai dengan niat”

Terdapat segelintir pengamal ajaran sesat ini, apabila ditanya tentang solat misalnya, mereka tanpa segan silu menyatakan “saya sudah solat, saya berniat solat sahaja, Islam itukan sangat mudah seperti mana yang terdapat di dalam hadis setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat” wujud juga diantara mereka yang berani berdebat dengan orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Kadang-kala kasihan melihat golongan yang mengamalkan ajaran sesat ini. sudahlah tidak mengetahui akan sesuatu perkara tersebut ditambah pula dengan ajaran yang sesat yang mereka pelajari bertambahlah kesesatan mereka itu. Semoga kita dijauhkan daripada perkara ini..Nauzubillahi min zalik

Thursday, October 16, 2008

ISU AKIDAH



Pentingnya Akidah Kepada Umat Islam kerana Iman adalah harta yang sangat bernilai dan ia bukan sesuatu yang boleh diwarisi atau dijual beli, tetapi ia adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara. Kerana itulah, Nabi Yaaqub Alaihissalam sekalipun bernasabkan para nabi dan memiliki keturunan di kalangan para nabi tetapi mereka cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucunya. Ini diceritakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 133 yang mana maksudnya:

"Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi".

Akidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Jika akidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia sahaja, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbia’ ayat 94 yang maksudnya berbunyi:

"Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya".

Namun, pada masa kini kepentingan akidah kurang diambil perhatian oleh sebilangan umat Islam. Apa yang mereka lebih bimbangkan ialah nasib anak bangsa dan anak cucu mereka setelah mereka tiada nanti akan menjadi miskin harta dan tanah. Tetapi adakah ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini yang bimbangkan nasib anak cucu mereka jika mereka miskin iman dan jiwa?

Lebih malang lagi, apabila kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak menghiraukan tentang anak-anak mereka apabila anak-anak telah memasuki alam remaja. Soal solat, puasa tidak diambil kisah. Malah ibu bapa sendiri juga tidak melakukan solat dan tidak melaksanakan ibadah puasa.Ibu bapa lebih senang menunjukkan perlakuan yang tidak ada nilai keislaman. malah yang lebih teruk lagi ada yang malu untuk menonjolkan cara kehidupan Islam kerana takut diejek oleh orang lain. mereka lebih mengagung-agungkan nilai kebaratan,Mereka sibuk untuk mengejar harta kekayaan bagi memiliki kehidupan yang mewah. Kehidupan mereka ini seolah-olah tiada pegangan serta bagi mereka soal akidah dan pegangan langsung tiada dalam kamus hidup mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah hidup mesti mengikut arus perubahan dan jika tidak, maka akan ketinggalan.

Apabila perkara ini terjadi, maka tidak hairanlah anak-anak mula terjebak dengan perkara-perkara yang tidak senonoh dan membimbangkan seperti black metal dan sebagainya. Manakala ibu bapanya pula terjebak dengan ajaran sesat kerana dalam kesibukan mereka mencari kehidupan dunia, mereka inginkan sesuatu yang mudah dan senang seperti soal solat, puasa, haji hanya dilakukan dengan niat semata-mata. Begitulah rencah kehidupan pada hari ini.

Kita yang berada di akhir zaman ini, sepatutnya lebih bimbang lagi akan keutuhan akidah anak-anak kita. Kita patut insaf betapa pentingnya akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir kesesatan.