Showing posts with label ISU PENGHAYATAN ISLAM. Show all posts
Showing posts with label ISU PENGHAYATAN ISLAM. Show all posts

Tuesday, October 21, 2008

Manusia = Haiwan ?????

Islam itu indah dan ianya perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Tiada ungkapan yang sesuai untuk menyatakan betapa hebatnya Islam itu. kehebatan Islam itu hanya dapat dirasai apabila Islam itu dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seseorang muslim. Banyak manfaat dan kelebihan yanga akan diperolehi apabila kita menghayati Islam dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan masa kini memperlihatkan kepada kita bahawa semakin hari, semakin sedikit jumlah umat Islam yang menghayati Islam. Hal ini kerana jika kita lihat pada masa kini, saban hari pelbagai isu dan masalah yang timbul di kalangan umat Islam itu sendiri sehinggakan sampai satu tahap di mana, umat Islam Seluruhnya tidak tahu apakah tindakan yang wajar dilakukan.

Apabila diselidik, semua masalah dan isu-isu ini sebenarnya timbul akibat tiadanya penghayatan oleh umat Islam terhadap ajaran agama Islam itu sendiri. Jika Islam itu tidak dihayati oleh umat Islam, maka jadilah umat Islam itu, umat yang sentiasa dilanda masalah dan secara tidak langsung juga akan membentuk akhlak yang buruk. Sebagai contoh yang boleh dilihat pada masa kini, dimana tindakan seseorang manusia itu boleh bertukar seumpama tindakan seekor haiwan yang seolah-olah tidak mempunyai akal untuk berfikir. Ini terbukti di media massa yang mana, saban hari kita diperlihatkan dengan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain. Contohnya dengan mudah seseorang muslim itu membunuh saudaranya sendiri, seorang bapa sanggup mencabul kehormatan anaknya sendiri, seorang ibu sanggup melacurkan anaknya sendiri, seorang suami sanggup melihat isteri serta anak-anak mati di depan matanya dan sebagainya.

Contoh-contoh di atas membuktikan kepada kita bahawa Islam itu semakin lama, semakin kurang dihayati. Ini kerana, jika umat Islam itu sentiasa menghayati ajaran agama Islam, tindakan yang dilarang di dalam agama Islam tidak dapat kita lihat pada hari ini serta kita akan hidup dengan aman dan harmoni disamping mengamalkan nilai-nilai Islam hasil daripada penghayatan terhadap ajaran agama Islam.

Thursday, October 16, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM


Setiap individu muslim perlu menghayati Islam yang sebenar di dalam diri. Ini adalah kerana apabila kita mengetahui tentang ajaran agama Islam itu sendiri, maka kita perlu menghayati nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Sekiranya kita hanya mengetahui sahaja tentang ajaran-ajaran agama Islam tetapi tidak menghayatinya boleh jadi diri kita kosong tanpa apa-apa seumpama pokok yang rendang tetapi tidak berbuah.

Kenapa perlunya kita kepada menghayati Islam? Kita perlu menghayati Islam kerana apabila kita menghayati setiap apa yang diajar di dalam Islam, maka sekali gus kita akan mengamalkannya sekali pun tidak secara keseluruhan tetapi tetap ada dan ia menjadi benteng untuk kita mempertahankan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta setiap tindakan kita juga akan berlandaskan kepada lunas-lunas Islam.

Walau bagaimanapun, untuk menghayati Islam dengan sebenarnya bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana ia memerlukan kepada usaha memahami Islam itu secara mendalam berdasarkan kepada ajaran di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apabila kita dapat memahami dengan baik maka kita akan dapat menghayatinya pula. Proses menghayati Islam itu boleh dinyatakan seperti berikut iaitu bermula dengan peringkat mempelajari. Kemudian, memahami apa yang telah dipelajari. Seterusnya, menghayatinya pula. Apabila kita telah menghayatinya dengan sempurna maka perkara yang dihayati itu tadi akan terkesan dalam diri individu tersebut.

Jika dilihat pada ketika ini, kebanyakan umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang ajaran Islam akan tetapi apabila tidak dihayati maka, segalanya tidak mempunyai makna dan setiap tindakan yang dilakukan juga bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya mereka mengetahui hukum hakamnya malahan tanpa segan silu melakukan sesuatu yang dilarang di dalam ajaran agama Islam.