Tuesday, October 21, 2008

Isu Pembentukan Keluarga Bahagia....

Setiap orang menyimpan impian untuk mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dan sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni. Yang mana, setiap ahli keluarganya tahu akan tangungjawab masing-masing serta melaksanakan dengan sempurna.

Bapa selaku ketua keluarga perlu memainkan peranannya dan menjalankan tanggungjawab terhadap kelurga. Sebagaimana di dalam hadis yang menyatakan :
“Setiap kamu adalah merupakan pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin”.

Tanggungjawa sebagai seorang suami dan bapa merupakan tanggungjawab yang begitu berat dan ianya merupakan satu amanah Allah s.w.t yang mesti ditunaikan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Tahrim ayat 6, yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.

Begitu juga dengan ibu yang patut menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada suami dan seorang ibu kepada anak-anak. Selain daripada itu juga, isteri perlu tahu tanggungjawab suami , ini kerana apabila terjadi sesuatu perkara, maka isteri perlu mengambil alih tanggungjawab seorang suami dan bapa.

Tanggungjawab yang paling besar adalah membina sebuah keluarga yang bahagia mengikut lunas-lunas Islam. Isu yang sering kita dengar pada hari ini kegagalan ibu bapa dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Ini semua adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa itu sendiri dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jika kita renungkan dalam sebuah rumahtangga juga perlu ada perancangan dan strategik yang baik untuk membina keluarga yang bahagia, yang mana perancangan dan strategik tersebut dikendalikan oleh nakhoda dan pembantunya yakni ibu dan bapa.

Kesimpulannya, berjaya atau tidak pembentukan sebuah keluarga yang harmoni adalah bergantung kepada ketua keluarga itu sendiri, jika baik, maka keseluruhan ahli keluarganya juga akan baik, dan jika sebaliknya maka, kehancuranlah pengakhirannya.

Isu Pengabaian Anak-Anak....

Anak-anak adalah permata hati kepada ibu bapa dan anak-anak juga merupakan harta yang sangat bermakna kepada ibu bapa. Anak-anak yang dilahirkan sudah semestinya memerlukan perhatian daripada kedua orang tuanya semenjak dilahirkan hinggalah usianya meningkat dewasa.

Kita sering kali mendengar anak-anak yang terlibat dengan gejala sosial seperti seks bebas, pengambilan pil-pil khayal, lari rumah, menjadi pelacur dan sebagainya. Isu-isu seperti ini jika dilihat tidak pernah hilang malah semakin hari semakin bertambah di media massa, media elektronik dan sebagainya. Malah kewujudan pusat-pusat pemulihan akhlak, pusat perlindungan, pusat serenti dan sebagainya juga turut bertambah. Ini secara tidak langsung menyatakan kepada kita bahawa kes-kes gejala sosial di negara kita ini semakin bertambah.

Apabila perkara ini diselidiki, didapati faktor utama yang menyebabkan anak-anak mudah terjebak dengan gejala sosial ini adalah kerana pengabaian daripada ibu bapa mereka sendiri. Perlu diingat anak-anak inginkan perhatian, kasih sayang, bimbingan serta didikan daripada ibu bapa dan bukannya inginkan kemewahan semata-mata.

Kesilapan ibu bapa pada hari ini iaitu mengabaikan anak-anak mereka, yang mana ada segolongan ibu bapa yang berpendapat bahawa anak-anak ini perlu diberikan kebebasan di samping menyediakan keperluan terutamanya kewangan yang mencukupi kepada anak-anak. Bagi ibu bapa yang mempunyai sikap seperti ini, mereka juga beranggapan bahawa anak-anak tidak suka dikongkong dan mereka beranggapan anak-anak perlu diberikan pendedahan kepada dunia luar supaya mereka pandai berdikari sendiri.


Pendapat yang dilontarkan itu betul akan tetapi anak-anak memerlukan perhatian dan pengawasan daripada ibu bapa mereka. Disamping ibu bapa juga perlu memberikan kepada anak-anak mereka batasan-batasan yang sepatutnya. Ini penting agar anak-anak tidak mudah terpedaya dengan anasir-anasir luar seperti pengaruh rakan sebaya, pengaruh persekitaran dan sebagainya.

Disamping itu juga, ibu bapa sepatutnya memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak mereka terutamanya berkaitan dengan kehidupan. Anak-anak yang mendapat perhatian, kasih sayang, bimbingan dan pendidikan daripada ibu bapa mereka lebih berhati-hati dan masih boleh mengawal keadaan diri mereka. Ini berbeza dengan mereka yang diabaikan oleh ibu bapa dan kehidupan mereka hanya dilimpahi dengan kemewahan. Mereka ini, mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif, liar dan tiada perasaan takut sekiranya terjadi apa-apa kepada mereka kerana bagi mereka, apa-apa yang terjadi kepada mereka tidak akan dipedulikan oleh sesiapa terutamanya ibu bapa sendiri.

Manusia = Haiwan ?????

Islam itu indah dan ianya perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Tiada ungkapan yang sesuai untuk menyatakan betapa hebatnya Islam itu. kehebatan Islam itu hanya dapat dirasai apabila Islam itu dihayati dengan sebenar-benarnya oleh seseorang muslim. Banyak manfaat dan kelebihan yanga akan diperolehi apabila kita menghayati Islam dan begitu juga sebaliknya.

Keadaan masa kini memperlihatkan kepada kita bahawa semakin hari, semakin sedikit jumlah umat Islam yang menghayati Islam. Hal ini kerana jika kita lihat pada masa kini, saban hari pelbagai isu dan masalah yang timbul di kalangan umat Islam itu sendiri sehinggakan sampai satu tahap di mana, umat Islam Seluruhnya tidak tahu apakah tindakan yang wajar dilakukan.

Apabila diselidik, semua masalah dan isu-isu ini sebenarnya timbul akibat tiadanya penghayatan oleh umat Islam terhadap ajaran agama Islam itu sendiri. Jika Islam itu tidak dihayati oleh umat Islam, maka jadilah umat Islam itu, umat yang sentiasa dilanda masalah dan secara tidak langsung juga akan membentuk akhlak yang buruk. Sebagai contoh yang boleh dilihat pada masa kini, dimana tindakan seseorang manusia itu boleh bertukar seumpama tindakan seekor haiwan yang seolah-olah tidak mempunyai akal untuk berfikir. Ini terbukti di media massa yang mana, saban hari kita diperlihatkan dengan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain. Contohnya dengan mudah seseorang muslim itu membunuh saudaranya sendiri, seorang bapa sanggup mencabul kehormatan anaknya sendiri, seorang ibu sanggup melacurkan anaknya sendiri, seorang suami sanggup melihat isteri serta anak-anak mati di depan matanya dan sebagainya.

Contoh-contoh di atas membuktikan kepada kita bahawa Islam itu semakin lama, semakin kurang dihayati. Ini kerana, jika umat Islam itu sentiasa menghayati ajaran agama Islam, tindakan yang dilarang di dalam agama Islam tidak dapat kita lihat pada hari ini serta kita akan hidup dengan aman dan harmoni disamping mengamalkan nilai-nilai Islam hasil daripada penghayatan terhadap ajaran agama Islam.

Isu Ajaran Sesat Di Kalangan Umat Islam...

Dunia kini semakin maju segala benda ingin dikejar tanpa difikirkan terlebih dahulu adakah sesuatu yang ingin dilakukan itu dibenarkan di dalam Islam dan adakah tindakan tersebut selaras dengan apa yang terkandung di dalam ajaran Islam. Kehidupan hari ini telah berubah, semakin ramai orang cerdik pandai semakin ramai orang yang mengamalkan ajaran sesat.

Isu ajaran sesat bukanlah isu yang baru ingin diperkatakan, akan tetapi ianya merupakan isu yang sudah lama dan ianya juga telah diketahui umum. Apa yang peliknya disini, walaupun sudah mengetahui tentang ajaran sesat tersebut, tetapi malangnya ajaran sesat ini tetap mendapat perhatian daripada sesetengah golongan umat Islam. sungguh sedih kita mendengarnya walaupun ajaran agama Islam ini tidak sesekali membebankan umatnya, namun terdapat juga segelintir umat Islam yang merasakan ajaran Islam ini susah untuk dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian mereka. Bagi mereka ada sahaja peraturan-peraturan dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam, terutamanya berkaitan solat dan puasa.

Jika kita renungkan sejenak, mengapakah penganut agama Islam ini terlalu sukar untuk mematuhi ajaran agama Islam itu sendiri sedangkan ajaran agama Islam inlah yang paling mudah untuk dilaksanakan berbanding ajaran agama-agama lain. Tambahan pula sudah diketahui bahawa agama Islam ini merupakan agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t. Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, penganut agama lain begitu sukar untuk meninggalkan agama mereka sendiri walaupun telah jelas di depan mata mereka bahawa agama yang mereka anuti tersebut tidak mempunyai matlamat akhir. Kita sebagai umat Islam sepatutnya memiliki sifat seperti penganut agama lain yang begitu setia pada agama mereka sendiri walau apa pun yang terjadi.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan mereka tertarik dengan ajaran sesat ini kerana ajaran ini tetap melaksanakan apa yang disuruh di dalam agama Islam akan tetapi ianya sangat mudah, yang mana mereka hanya perlu kepada niat semata-mata dalam menunaikan ibadah tersebut konon-kononnya bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:

“Setiap amalan itu dimulai dengan niat”

Terdapat segelintir pengamal ajaran sesat ini, apabila ditanya tentang solat misalnya, mereka tanpa segan silu menyatakan “saya sudah solat, saya berniat solat sahaja, Islam itukan sangat mudah seperti mana yang terdapat di dalam hadis setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat” wujud juga diantara mereka yang berani berdebat dengan orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Kadang-kala kasihan melihat golongan yang mengamalkan ajaran sesat ini. sudahlah tidak mengetahui akan sesuatu perkara tersebut ditambah pula dengan ajaran yang sesat yang mereka pelajari bertambahlah kesesatan mereka itu. Semoga kita dijauhkan daripada perkara ini..Nauzubillahi min zalik

Thursday, October 16, 2008

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT


“Belia adalah tonggak negara”. Itulah yang sering diperkatakan oleh orang ramai dan ianya menjadi sinonim dalam masyarakat di negara kita. Anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan seterusnya dapat menjejakkan kaki ke menara gading adalah menjadi impian setiap ibu bapa. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan yang penting ingin melihat anak-anaknya berjaya serta mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara walaupun terpaksa bekorban apa sahaja.

Adalah menjadi suatu yang sangat gembira kepada ibu dan bapa apabila anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Jika kita lihat kebiasaannya, anak-anak yang ingin pergi dan tinggal berjauhan daripada ibu bapa, mereka akan diberi nasihat yang pelbagai. Nasihat pertama yang sering kita dengar iaitu "jangan tinggalkan solat", jangan lupa baca quran dan sebagainya.

Bagi sesetengah mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bandar, mereka seolah-olah mendapat kejutan budaya dan bermula dari sinilah mereka akan berubah sedikit demi sedikit disamping mereka mendapat pengaruh daripada rakan-rakannya. Kebiasaannya mereka akan mula mencuba sesuatu yang mereka tidak pernah cuba sebelum ini. Lebih malang lagi, apabila pegangan mereka yang selama ini mereka pelajari dan pegang telah hilang sedikit demi sedikit. Maka tidak hairanlah, jika wujud segolongan pelajar Islam yang menuntut di institusi pengajian tinggi mempunyai fahaman agama yang terpesong jauh daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

Terdapat dikalangan pelajar Islam di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat walaupun sebelum ini pelajar tersebut ada pengetahuan agama Islam yang sempurna. Jika diselidiki, perkara ini terjadi, berpunca daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran mereka. Sungguh sedih jika melihat mereka ini, hari demi hari, mereka semakin sesat dan golongan yang ingin memperbetulkannya pula tiada dan jika sekali pun ada mereka tidak berani atas dasar takut mereka juga terjebak dengan ajaran sesat itu.

Apa yang sepatutnya dilalukan ialah kerajaan mewujudkan satu badan sukarelawan yang akan sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat disamping mendapat bantuan dan kerjasama daripada pihak institusi pengajian tinggi tersebut dan pelajar-pelajar yang lain. Pelajar-pelajar yang mengamalkan ajaran sesat ini perlu diperbetulkan akidahnya disamping memberikan bimbingan dan cuba menyelami keadaan mereka ini.

Perkara ini perlulah diambil perhatian yang sewajarnya kerana pelajar-pelajar Islam di institusi pengajian tinggi inilah yang nantinya akan menjadi pemimpin yang akan memimpin bukan sahaja negara malahan juga memimpin masyarakat yang berada di dalamnya suatu hari nanti.

ISU ILMU-ILMU ISLAM


Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan, oleh kerana itulah, jika kita lihat ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada nabi Muhammad s.a.w adalah yang berkaitan dengan ilmu. Hal ini juga jelas di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang menyuruh umat Islam menuntut ilmu. Sebagai mana yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”.

Menuntut ilmu tidak hanya terbatas pada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan dituntut kepada kita untuk mempelajari segala ilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Malahan ilmu-ilmu yang kita perolehi itu tadi di suruh pula untuk diamalkan dalam menjalani kehidupan seharian di atas muka bumi ini.


Apa yang ingin dikatakan di sini, ada segelintir di kalangan umat Islam yang mempunyai fikiran yang tidak terbuka. Pada pandangan mereka ilmu-ilmu yang patut dan penting dipelajari adalah ilmu agama dan ilmu dunia adalah bersifat merapu, adakah kenyataan ini betul? . pada pandangan saya, ilmu agama itu sememangnya penting akan tetapi ilmu yang berkaitan masyarakat, kehidupan dan sebagainya juga adalah penting. Di sini yang membezakan kita sebagai umat Islam ialah kita meletakkan ilmu agama sebagai yang pertama dan menjadikan ilmu agama itu sebagai asas yang kukuh dalam diri sendiri disamping menuntut ilmu-ilmu yang lain.

Jika kita hanya mementingkan ilmu agama sahaja dan megenepikan ilmu-ilmu yang lain, maka kita akan ketinggalan dalam arus pemodenan. Begitu juga jika kita hanya mementingkan ilmu yang lain tanpa ada sedikit pun ilmu berkaitan agama, maka kemungkinan kita akan sesat walaupun kita mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dalam bidang-bidang yang lain.

Masalah umat Islam kini, mereka mementingkan ilmu dunia dan ilmu agama diketepikan dengan beranggapan ilmu agama sentiasa ada sahaja dan ilmu dunia jika tidak dikejar akan ketinggalan tambahan pula ilmu agama hanya untuk kegunaan dalam hal-hal tertentu sahaja. Selain itu, terdapat juga sebahagian umat Islam, yang mana mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak akan tetapi tidak digunakan dan dimanfaatkan dengan sepatutnya. Terdapat juga, pada masa kini orang yang mengamalkan ilmu hitam dan sebagainya untuk tujuan yang tidak berguna dan semata- mata untuk kepentingan diri sendiri. Apabila perkara ini terjadi seolah-olah semua ilmu pengetahuan yang dipelajari dan dituntut selama ini tidak membawa apa-apa makna kepada tuan yang menuntut itu tadi malah menjadikan mereka ini golongan yang sesat lagi menyesatkan.


kita sebagai umat Islam seharusnya mempelajari semua ilmu yang ada selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentang dengan apa yang di suruh oleh Allah dan rasul. Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan ilmu-ilmu tersebut perlu diamalkan agar kita menjadi umat yang kuat dalam menghadapi segala perubahan keadaan serta menjadi umat yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM



Islam adalah agama yang cukup sempurna kerana ianya satu-satu agama yang menyediakan undang-undang yang cukup sempurna dan meliputi semua aspek kehidupan. Dasar undang-undang Islam seperti mana yang kita ketahui adalah berdasarkan dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Pada zaman Rasulullah s.a.w, undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang Islam seperti mana yang terkandung di dalam dua sumber tersebut. Apa yang uniknya undang-undang Islam iaitu ianya sangat bersesuaian pada semua masa dan ketika serta ianya tidak luput ditelan zaman.


kini, segalanya telah berubah, apabila negara kita dijajah, terutamanya oleh pihak Inggeris, undang-undang negara mengalami perubahan yang sangat ketara iaitu dari aspek kerangka dan teknikal. Di sinilah bermulanya sistem dualisme dalam perundangan negara yang mengandungi undang-undang Islam dan undang-undang sivil.Walaupun demikian, undang-undang Islam ini telah melalui proses penapisan supaya menepati hukum syarak. Dan kesemua undang-undang Islam yang ada telah meletakkan rujukan muktamad kepada hukum syarak sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatannya.


Harapan setiap orang Islam di negara kita dan seluruh dunia amnya tentulah hendak melihat undang-undang Islam dapat diletakkan di atas tempat duduknya yang sebenar.Sudah tentu sebarang usaha demi memartabatkan hukum syarak seharusnya diberi sokongan dan galakan.Kerangka perundangan yang sudah sedia ada dan kukuh pula sifatnya harus dikekalkan. Sementara yang tidak sesui dengan prinsip Syariah diubah suai atau dimansuhkan. Walaupun ia bukan hasil ijtihad yang mengikat, tetapi ia perencanaan yang sangat berhikmah.

Pada ketika ini juga, jika kita lihat umat Islam berbalah-balah tentang undang-undang yang sedia ada. Bagi golongan yang berfikiran moden, apabila ditanya wajarkan undang-undang Islam pada ketika ini, maka, mereka dengan lantang menyatakan undang-undang Islam yang lama tidak sesuai lagi pada masa kini dan zaman juga telah berubah. Manakala bagi golongan yang extrem agama pula, mereka menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sepatutnya menjalankan undang-undang Islam. inilah yang menjadi masalah kepada kita semua. Walau bagaimanapun kita tidak sepatutnya memberikan pandangan dengan lantang tanpa memikirkan kebaikan dari semua sudut.

Setiap apa yang ingin diperkatakan hendaklah difikirkan terlebih dahulu kerana yang akan menggunakan undang-undang tersebut semua masyarakat dan ianya mestilah mendapat persetujuan ramai. Ini bukanlah membawa maksud yang undang-undang Islam itu tidak boleh dijalankan, akan tetapi ia memerlukan satu usaha dan kerjasama daripada semua umat Islam untuk menegakkan undang-undang yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia. Jika sesama umat Islam pun tiada kata sepakat, bagaimanakah untuk mewujudkan sesuatu yang dasarnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, sudah tentu ianya tidak berjaya.