
Isu negara Islam di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi di kalangan bukan Islam juga. Bagi seorang Islam yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tentang negara Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, negara Islam yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seorang Islam yang mempunyai pandangan yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep sebenar negara Islam yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya.
Justeru itu, maka tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan negara Islam yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak negara Islam kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam mereka tidak memahami tentang negara Islam yang sebenar. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan negara Islam itu sendiri.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu negara Islam sering disalahtafsirkan. Negara Islam tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan minoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah s.a.w di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa negara Islam pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.
Isu negara Islam bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan negara Islam tidak popular di zaman Nabi Muhammad s.a.w mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air iaitu negara Islam pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim itu sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi:
“tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri”
dan ikuti dengan menegakkan negara Islam dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Islam itu supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang negara Islam yang dimaksudkan serta mampu berbicara dan berhujah mengenainya,. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa :
“Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172)
No comments:
Post a Comment