Thursday, October 16, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM


Setiap individu muslim perlu menghayati Islam yang sebenar di dalam diri. Ini adalah kerana apabila kita mengetahui tentang ajaran agama Islam itu sendiri, maka kita perlu menghayati nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Sekiranya kita hanya mengetahui sahaja tentang ajaran-ajaran agama Islam tetapi tidak menghayatinya boleh jadi diri kita kosong tanpa apa-apa seumpama pokok yang rendang tetapi tidak berbuah.

Kenapa perlunya kita kepada menghayati Islam? Kita perlu menghayati Islam kerana apabila kita menghayati setiap apa yang diajar di dalam Islam, maka sekali gus kita akan mengamalkannya sekali pun tidak secara keseluruhan tetapi tetap ada dan ia menjadi benteng untuk kita mempertahankan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta setiap tindakan kita juga akan berlandaskan kepada lunas-lunas Islam.

Walau bagaimanapun, untuk menghayati Islam dengan sebenarnya bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana ia memerlukan kepada usaha memahami Islam itu secara mendalam berdasarkan kepada ajaran di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apabila kita dapat memahami dengan baik maka kita akan dapat menghayatinya pula. Proses menghayati Islam itu boleh dinyatakan seperti berikut iaitu bermula dengan peringkat mempelajari. Kemudian, memahami apa yang telah dipelajari. Seterusnya, menghayatinya pula. Apabila kita telah menghayatinya dengan sempurna maka perkara yang dihayati itu tadi akan terkesan dalam diri individu tersebut.

Jika dilihat pada ketika ini, kebanyakan umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang ajaran Islam akan tetapi apabila tidak dihayati maka, segalanya tidak mempunyai makna dan setiap tindakan yang dilakukan juga bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya mereka mengetahui hukum hakamnya malahan tanpa segan silu melakukan sesuatu yang dilarang di dalam ajaran agama Islam.


No comments: