Thursday, October 16, 2008

ISU POLITIK ISLAM


Sistem politik yang dibangun oleh Rasulullah s.a.w dan umat Islam pada ketika itu di Madinah jika dilihat amat berbeza dengan politik di era zaman ini. Sistem politik pada ketika itu boleh dikatakan adalah sistem politik yang par excellence kerana baginda s.a.w cuba menonjolkan satu sistem politik Islam yang unggul yang mana tidak memisahkan antara agama dan politik.


Hal ini diakui sendiri oleh para orientalis antaranya pendapat yang dikemukakan oleh Dr. V. Fitzgerald "Islam bukanlah semata-mata agama tetapi juga merupakan sebuah sistem politik. Meskipun pada dekad-dekad yang terakhir ini terdapat segelitir daripada kalangan umat Islam, yang berusaha memisahkan antara keduanya, namun jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya saling bergandingan dan tidak dapat dipisahkan". Pandangan lain, yang dikemukakan oleh Prof. C. A. Nallino "Muhammad telah membangunkan dua perkara dalam satu masa iaitu agama dan negara serta kedua-duanya terpelihara sepanjang hayat Muhammad".


Malangnya apa yang terjadi pada hari ini, ada yang mengatakan "agama adalah satu hal, dan politik adalah hal lain". Terdapat juga segelintir umat Islam yang menjalankan politik kotor demi kepentingan diri sendiri tanpa mengambil kira apa yang akan terjadi di hari kemudian. kini, mereka yang terlibat dengan politik, apabila nama mereka mula naik, mereka seolah-olah lupa segala-galanya apa yang mereka pentingkan hanyalah kuasa dan pangkat semata-mata. Ini berlainan dengan seseorang yang mempunyai nilai keislaman di dalam dirinya, yang mana mereka ini akan amanah terhadap tanggungjawab yang dipikul serta jauh sekali untuk dengki dan tamak terhadap pangkat dan kedudukan. Jika kita lihat sekarang, negara tidak dapat menyediakan satu politik Islam yang kukuh kerana masalah perpecahan dan pergaduhan antara satu sama lain terutamanya sesama umat Islam. Mereka tidak pernah ada perasaan ingin memaafkan bahkan terus-menerus bermusuhan semata-mata ingin menguasai politik.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku sama sekali kerana ianya menonjolkan sesuatu yang kurang elok dan lebih penting lagi ianya menonjolkan imej Islam yang sukakan pergaduhan dan tidak suka bekerjasama. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa ianya merugikan umat Islam itu sendiri kerana apabila hubungan kita sesama saudara Islam tidak baik maka ia memberikan peluang dan ruang kepada orang yang bukan beragama Islam bertindak ke atas umat Islam dan sekali gus menguasai umat Islam seluruhnya.

No comments: