Thursday, October 16, 2008

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM


Sebuah keluarga terdiri daripada beberapa orang ahli, samada suami atau isteri, atau ibu, bapa dan anak-anak. Keluarga adalah merupakan kumpulan manusia terkecil yang akan membentuk kumpulan masyarakat yang lebih besar. Melahirkan masyarakat beriman bergantung kepada kejayaan melahirkan keluarga yang beriman. Justeru itu Islam meletakkan tanggungjawab utama melahirkan ahli keluarga yang beriman kepada ibu dan bapa yang menjadi nakhoda untuk memimpin keluarga. Di dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membina keluarga Islam jika mereka mengabaikan tanggungjawab tersebut maka keluarga Islam yang sebenarnya tidak dapat diwujudkan.


Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana nilai nilai Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam jiwa, diri dan peribadi ahli keluarga. Melalui institusi ini generasi muda diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan menghayatinya. Suasana ini akan wujud di dalam sebuah keluarga dalam masyarakat Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka adalah berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah semata mata. Di samping itu juga terdapat hak-hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga yang diatur dengan begitu saksama dan adil oleh Islam. Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati atau mementingkan diri sendiri tidak mendapat tempat di dalam sebuah keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kerjasama dan perpaduan antara ahli ahli keluarga.


Kini, jika dilihat hanya segelintir sahaja daripada umat Islam yang benar-benar berjaya membentuk sebuah keluarga Islam yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Jika kita lihat lagi, bukannya keluarga yang tidak berjaya membina sebuah keluarga Islam itu adalah keluarga yang mundur bahkan mereka inilah boleh dikatakan lebih berjaya daripada yang lain. mereka ini berjaya membina keluarganya yang tersendiri akan tetapi sayang seribu kali sayang, keluarga yang dibina tersebut ialah keluarga yang sosial dan penampilan serta perilaku ahli-ahlinya tidak mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar.


Tanggungjawab untuk membina sebuah keluarga Islam amatlah besar dan berat kerana ianya memerlukan sedikit pengorbanan daripada setiap ahli keluarga. Keluarga Islam yang diinginkan ialah sebuah keluarga yang bukan hanya menjaga batas-batas Islam akan tetapi mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat disekelilingnya serta mampu bergaul bersama masyarakat disekelilingnya dengan sempurna, dalam erti kata lain dalam agama bijak dan dalam bersosial juga bijak.

No comments: