Thursday, October 16, 2008

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT


“Belia adalah tonggak negara”. Itulah yang sering diperkatakan oleh orang ramai dan ianya menjadi sinonim dalam masyarakat di negara kita. Anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan seterusnya dapat menjejakkan kaki ke menara gading adalah menjadi impian setiap ibu bapa. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan yang penting ingin melihat anak-anaknya berjaya serta mampu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara walaupun terpaksa bekorban apa sahaja.

Adalah menjadi suatu yang sangat gembira kepada ibu dan bapa apabila anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Jika kita lihat kebiasaannya, anak-anak yang ingin pergi dan tinggal berjauhan daripada ibu bapa, mereka akan diberi nasihat yang pelbagai. Nasihat pertama yang sering kita dengar iaitu "jangan tinggalkan solat", jangan lupa baca quran dan sebagainya.

Bagi sesetengah mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bandar, mereka seolah-olah mendapat kejutan budaya dan bermula dari sinilah mereka akan berubah sedikit demi sedikit disamping mereka mendapat pengaruh daripada rakan-rakannya. Kebiasaannya mereka akan mula mencuba sesuatu yang mereka tidak pernah cuba sebelum ini. Lebih malang lagi, apabila pegangan mereka yang selama ini mereka pelajari dan pegang telah hilang sedikit demi sedikit. Maka tidak hairanlah, jika wujud segolongan pelajar Islam yang menuntut di institusi pengajian tinggi mempunyai fahaman agama yang terpesong jauh daripada ajaran agama Islam yang sebenar.

Terdapat dikalangan pelajar Islam di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat walaupun sebelum ini pelajar tersebut ada pengetahuan agama Islam yang sempurna. Jika diselidiki, perkara ini terjadi, berpunca daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran mereka. Sungguh sedih jika melihat mereka ini, hari demi hari, mereka semakin sesat dan golongan yang ingin memperbetulkannya pula tiada dan jika sekali pun ada mereka tidak berani atas dasar takut mereka juga terjebak dengan ajaran sesat itu.

Apa yang sepatutnya dilalukan ialah kerajaan mewujudkan satu badan sukarelawan yang akan sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat disamping mendapat bantuan dan kerjasama daripada pihak institusi pengajian tinggi tersebut dan pelajar-pelajar yang lain. Pelajar-pelajar yang mengamalkan ajaran sesat ini perlu diperbetulkan akidahnya disamping memberikan bimbingan dan cuba menyelami keadaan mereka ini.

Perkara ini perlulah diambil perhatian yang sewajarnya kerana pelajar-pelajar Islam di institusi pengajian tinggi inilah yang nantinya akan menjadi pemimpin yang akan memimpin bukan sahaja negara malahan juga memimpin masyarakat yang berada di dalamnya suatu hari nanti.

ISU ILMU-ILMU ISLAM


Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan, oleh kerana itulah, jika kita lihat ayat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada nabi Muhammad s.a.w adalah yang berkaitan dengan ilmu. Hal ini juga jelas di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang menyuruh umat Islam menuntut ilmu. Sebagai mana yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”.

Menuntut ilmu tidak hanya terbatas pada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan dituntut kepada kita untuk mempelajari segala ilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Malahan ilmu-ilmu yang kita perolehi itu tadi di suruh pula untuk diamalkan dalam menjalani kehidupan seharian di atas muka bumi ini.


Apa yang ingin dikatakan di sini, ada segelintir di kalangan umat Islam yang mempunyai fikiran yang tidak terbuka. Pada pandangan mereka ilmu-ilmu yang patut dan penting dipelajari adalah ilmu agama dan ilmu dunia adalah bersifat merapu, adakah kenyataan ini betul? . pada pandangan saya, ilmu agama itu sememangnya penting akan tetapi ilmu yang berkaitan masyarakat, kehidupan dan sebagainya juga adalah penting. Di sini yang membezakan kita sebagai umat Islam ialah kita meletakkan ilmu agama sebagai yang pertama dan menjadikan ilmu agama itu sebagai asas yang kukuh dalam diri sendiri disamping menuntut ilmu-ilmu yang lain.

Jika kita hanya mementingkan ilmu agama sahaja dan megenepikan ilmu-ilmu yang lain, maka kita akan ketinggalan dalam arus pemodenan. Begitu juga jika kita hanya mementingkan ilmu yang lain tanpa ada sedikit pun ilmu berkaitan agama, maka kemungkinan kita akan sesat walaupun kita mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dalam bidang-bidang yang lain.

Masalah umat Islam kini, mereka mementingkan ilmu dunia dan ilmu agama diketepikan dengan beranggapan ilmu agama sentiasa ada sahaja dan ilmu dunia jika tidak dikejar akan ketinggalan tambahan pula ilmu agama hanya untuk kegunaan dalam hal-hal tertentu sahaja. Selain itu, terdapat juga sebahagian umat Islam, yang mana mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak akan tetapi tidak digunakan dan dimanfaatkan dengan sepatutnya. Terdapat juga, pada masa kini orang yang mengamalkan ilmu hitam dan sebagainya untuk tujuan yang tidak berguna dan semata- mata untuk kepentingan diri sendiri. Apabila perkara ini terjadi seolah-olah semua ilmu pengetahuan yang dipelajari dan dituntut selama ini tidak membawa apa-apa makna kepada tuan yang menuntut itu tadi malah menjadikan mereka ini golongan yang sesat lagi menyesatkan.


kita sebagai umat Islam seharusnya mempelajari semua ilmu yang ada selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentang dengan apa yang di suruh oleh Allah dan rasul. Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan ilmu-ilmu tersebut perlu diamalkan agar kita menjadi umat yang kuat dalam menghadapi segala perubahan keadaan serta menjadi umat yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM



Islam adalah agama yang cukup sempurna kerana ianya satu-satu agama yang menyediakan undang-undang yang cukup sempurna dan meliputi semua aspek kehidupan. Dasar undang-undang Islam seperti mana yang kita ketahui adalah berdasarkan dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Pada zaman Rasulullah s.a.w, undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang Islam seperti mana yang terkandung di dalam dua sumber tersebut. Apa yang uniknya undang-undang Islam iaitu ianya sangat bersesuaian pada semua masa dan ketika serta ianya tidak luput ditelan zaman.


kini, segalanya telah berubah, apabila negara kita dijajah, terutamanya oleh pihak Inggeris, undang-undang negara mengalami perubahan yang sangat ketara iaitu dari aspek kerangka dan teknikal. Di sinilah bermulanya sistem dualisme dalam perundangan negara yang mengandungi undang-undang Islam dan undang-undang sivil.Walaupun demikian, undang-undang Islam ini telah melalui proses penapisan supaya menepati hukum syarak. Dan kesemua undang-undang Islam yang ada telah meletakkan rujukan muktamad kepada hukum syarak sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatannya.


Harapan setiap orang Islam di negara kita dan seluruh dunia amnya tentulah hendak melihat undang-undang Islam dapat diletakkan di atas tempat duduknya yang sebenar.Sudah tentu sebarang usaha demi memartabatkan hukum syarak seharusnya diberi sokongan dan galakan.Kerangka perundangan yang sudah sedia ada dan kukuh pula sifatnya harus dikekalkan. Sementara yang tidak sesui dengan prinsip Syariah diubah suai atau dimansuhkan. Walaupun ia bukan hasil ijtihad yang mengikat, tetapi ia perencanaan yang sangat berhikmah.

Pada ketika ini juga, jika kita lihat umat Islam berbalah-balah tentang undang-undang yang sedia ada. Bagi golongan yang berfikiran moden, apabila ditanya wajarkan undang-undang Islam pada ketika ini, maka, mereka dengan lantang menyatakan undang-undang Islam yang lama tidak sesuai lagi pada masa kini dan zaman juga telah berubah. Manakala bagi golongan yang extrem agama pula, mereka menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sepatutnya menjalankan undang-undang Islam. inilah yang menjadi masalah kepada kita semua. Walau bagaimanapun kita tidak sepatutnya memberikan pandangan dengan lantang tanpa memikirkan kebaikan dari semua sudut.

Setiap apa yang ingin diperkatakan hendaklah difikirkan terlebih dahulu kerana yang akan menggunakan undang-undang tersebut semua masyarakat dan ianya mestilah mendapat persetujuan ramai. Ini bukanlah membawa maksud yang undang-undang Islam itu tidak boleh dijalankan, akan tetapi ia memerlukan satu usaha dan kerjasama daripada semua umat Islam untuk menegakkan undang-undang yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia. Jika sesama umat Islam pun tiada kata sepakat, bagaimanakah untuk mewujudkan sesuatu yang dasarnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, sudah tentu ianya tidak berjaya.







ISU POLITIK ISLAM


Sistem politik yang dibangun oleh Rasulullah s.a.w dan umat Islam pada ketika itu di Madinah jika dilihat amat berbeza dengan politik di era zaman ini. Sistem politik pada ketika itu boleh dikatakan adalah sistem politik yang par excellence kerana baginda s.a.w cuba menonjolkan satu sistem politik Islam yang unggul yang mana tidak memisahkan antara agama dan politik.


Hal ini diakui sendiri oleh para orientalis antaranya pendapat yang dikemukakan oleh Dr. V. Fitzgerald "Islam bukanlah semata-mata agama tetapi juga merupakan sebuah sistem politik. Meskipun pada dekad-dekad yang terakhir ini terdapat segelitir daripada kalangan umat Islam, yang berusaha memisahkan antara keduanya, namun jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya saling bergandingan dan tidak dapat dipisahkan". Pandangan lain, yang dikemukakan oleh Prof. C. A. Nallino "Muhammad telah membangunkan dua perkara dalam satu masa iaitu agama dan negara serta kedua-duanya terpelihara sepanjang hayat Muhammad".


Malangnya apa yang terjadi pada hari ini, ada yang mengatakan "agama adalah satu hal, dan politik adalah hal lain". Terdapat juga segelintir umat Islam yang menjalankan politik kotor demi kepentingan diri sendiri tanpa mengambil kira apa yang akan terjadi di hari kemudian. kini, mereka yang terlibat dengan politik, apabila nama mereka mula naik, mereka seolah-olah lupa segala-galanya apa yang mereka pentingkan hanyalah kuasa dan pangkat semata-mata. Ini berlainan dengan seseorang yang mempunyai nilai keislaman di dalam dirinya, yang mana mereka ini akan amanah terhadap tanggungjawab yang dipikul serta jauh sekali untuk dengki dan tamak terhadap pangkat dan kedudukan. Jika kita lihat sekarang, negara tidak dapat menyediakan satu politik Islam yang kukuh kerana masalah perpecahan dan pergaduhan antara satu sama lain terutamanya sesama umat Islam. Mereka tidak pernah ada perasaan ingin memaafkan bahkan terus-menerus bermusuhan semata-mata ingin menguasai politik.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku sama sekali kerana ianya menonjolkan sesuatu yang kurang elok dan lebih penting lagi ianya menonjolkan imej Islam yang sukakan pergaduhan dan tidak suka bekerjasama. Hal ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa ianya merugikan umat Islam itu sendiri kerana apabila hubungan kita sesama saudara Islam tidak baik maka ia memberikan peluang dan ruang kepada orang yang bukan beragama Islam bertindak ke atas umat Islam dan sekali gus menguasai umat Islam seluruhnya.

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM


Sebuah keluarga terdiri daripada beberapa orang ahli, samada suami atau isteri, atau ibu, bapa dan anak-anak. Keluarga adalah merupakan kumpulan manusia terkecil yang akan membentuk kumpulan masyarakat yang lebih besar. Melahirkan masyarakat beriman bergantung kepada kejayaan melahirkan keluarga yang beriman. Justeru itu Islam meletakkan tanggungjawab utama melahirkan ahli keluarga yang beriman kepada ibu dan bapa yang menjadi nakhoda untuk memimpin keluarga. Di dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membina keluarga Islam jika mereka mengabaikan tanggungjawab tersebut maka keluarga Islam yang sebenarnya tidak dapat diwujudkan.


Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana nilai nilai Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam jiwa, diri dan peribadi ahli keluarga. Melalui institusi ini generasi muda diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan menghayatinya. Suasana ini akan wujud di dalam sebuah keluarga dalam masyarakat Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka adalah berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah semata mata. Di samping itu juga terdapat hak-hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga yang diatur dengan begitu saksama dan adil oleh Islam. Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati atau mementingkan diri sendiri tidak mendapat tempat di dalam sebuah keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kerjasama dan perpaduan antara ahli ahli keluarga.


Kini, jika dilihat hanya segelintir sahaja daripada umat Islam yang benar-benar berjaya membentuk sebuah keluarga Islam yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Jika kita lihat lagi, bukannya keluarga yang tidak berjaya membina sebuah keluarga Islam itu adalah keluarga yang mundur bahkan mereka inilah boleh dikatakan lebih berjaya daripada yang lain. mereka ini berjaya membina keluarganya yang tersendiri akan tetapi sayang seribu kali sayang, keluarga yang dibina tersebut ialah keluarga yang sosial dan penampilan serta perilaku ahli-ahlinya tidak mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar.


Tanggungjawab untuk membina sebuah keluarga Islam amatlah besar dan berat kerana ianya memerlukan sedikit pengorbanan daripada setiap ahli keluarga. Keluarga Islam yang diinginkan ialah sebuah keluarga yang bukan hanya menjaga batas-batas Islam akan tetapi mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat disekelilingnya serta mampu bergaul bersama masyarakat disekelilingnya dengan sempurna, dalam erti kata lain dalam agama bijak dan dalam bersosial juga bijak.

ISU PENGHAYATAN ISLAM


Setiap individu muslim perlu menghayati Islam yang sebenar di dalam diri. Ini adalah kerana apabila kita mengetahui tentang ajaran agama Islam itu sendiri, maka kita perlu menghayati nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Sekiranya kita hanya mengetahui sahaja tentang ajaran-ajaran agama Islam tetapi tidak menghayatinya boleh jadi diri kita kosong tanpa apa-apa seumpama pokok yang rendang tetapi tidak berbuah.

Kenapa perlunya kita kepada menghayati Islam? Kita perlu menghayati Islam kerana apabila kita menghayati setiap apa yang diajar di dalam Islam, maka sekali gus kita akan mengamalkannya sekali pun tidak secara keseluruhan tetapi tetap ada dan ia menjadi benteng untuk kita mempertahankan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta setiap tindakan kita juga akan berlandaskan kepada lunas-lunas Islam.

Walau bagaimanapun, untuk menghayati Islam dengan sebenarnya bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana ia memerlukan kepada usaha memahami Islam itu secara mendalam berdasarkan kepada ajaran di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apabila kita dapat memahami dengan baik maka kita akan dapat menghayatinya pula. Proses menghayati Islam itu boleh dinyatakan seperti berikut iaitu bermula dengan peringkat mempelajari. Kemudian, memahami apa yang telah dipelajari. Seterusnya, menghayatinya pula. Apabila kita telah menghayatinya dengan sempurna maka perkara yang dihayati itu tadi akan terkesan dalam diri individu tersebut.

Jika dilihat pada ketika ini, kebanyakan umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang ajaran Islam akan tetapi apabila tidak dihayati maka, segalanya tidak mempunyai makna dan setiap tindakan yang dilakukan juga bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya mereka mengetahui hukum hakamnya malahan tanpa segan silu melakukan sesuatu yang dilarang di dalam ajaran agama Islam.


ISU NEGARA ISLAM


Isu negara Islam di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi di kalangan bukan Islam juga. Bagi seorang Islam yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tentang negara Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, negara Islam yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seorang Islam yang mempunyai pandangan yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep sebenar negara Islam yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya.

Justeru itu, maka tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan negara Islam yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak negara Islam kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam mereka tidak memahami tentang negara Islam yang sebenar. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan negara Islam itu sendiri.

Perlu ditekankan di sini bahawa isu negara Islam sering disalahtafsirkan. Negara Islam tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan minoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah s.a.w di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa negara Islam pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.

Isu negara Islam bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan negara Islam tidak popular di zaman Nabi Muhammad s.a.w mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air iaitu negara Islam pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim itu sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi:
“tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri”

dan ikuti dengan menegakkan negara Islam dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Islam itu supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang negara Islam yang dimaksudkan serta mampu berbicara dan berhujah mengenainya,. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa :

“Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172)

ISU EKONOMI ISLAM


Ekonomi adalah merupakan tonggak kepada sesebuah Negara. Kejayaan sesebuah negara adalah bergantung kepada sumber ekonominya dan kebijaksanaan pengurusannya.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memastikan sumber ekonomi yang diperolehinya itu datangnya dari sumber yang halal dan sumber tersebut diuruskan dengan cara yang terbaik demi kemajuan negara, jika tidak maka akan berlaku kemunduran dan kejatuhan ummah.

Kini, dapat kita lihat sejauh mana perkembangan ekonomi Islam itu sendiri. Untuk melihat Islam berjaya dalam ekonomi kita perlu kepada penguasaan ilmu, politik dan sebagainya. Kerana jika kita tidak menguasainya maka kita akan sentiasa bergantung kepada bangsa lain.

Mencari sumber ekonomi yang halal adalah salah satu jihad di dalam Islam, di dalam kesibukan mencari sumber ekonomi negara, seseorang pemimpin itu perlulah bertanggungjawab dalam memastikan negara mendapat sumber ekonomi yang halal yang sudah semestinya jauh daripada unsur riba’ dan ketidakpastian . malangnya, jika kita lihat pada hari ini, boleh dikatakan negara kita tidak dapat lari daripada kedua-dua unsur tersebut. Malah, dalam perniagaan yang dijalankan oleh orang Islam sendiri juga terdapat unsur riba’ dan penipuan. Unsur-unsur ini seolah-olah telah menjadi sebati dalam kehidupan sesetengah umat Islam dan boleh dikatakan mereka kenyang dengan sumber ekonomi yang datangnya daripada unsur-unsur diatas.

Golongan-golongan atasan pula, mereka tidak dapat lari dari menerima rasuah walaupun mereka ini bukan datangnya daripada golongan bawahan dan yang paling penting bukannya kehidupan mereka susah seperti golongan bawahan akan tetapi mereka tetap suka menerima rasuah. Menerima rasuah bagi mereka seolah-olah suatu adat dan kebiasaan sedangkan mereka tahu perkara tersebut adalah satu dosa akan tetapi kemahuan nafsu telah mengatasi dosa dan pahala. Gara-gara ingin mengejar kemewahan, dan ingin berlumba dalam mencari harta dunia, dari mana datangnya sumber ekonomi yang diperolehi tidak dihiraukan.


Hadis riwayat At-Thobrani menyatakan;
“Kesengsaraan yang paling sengsara adalah miskin di dunia dan disiksa di akhirat.”

Kita hendaklah kuat dalam ekonomi kerana tanpa harta umat Islam tidak mampu menjadi umat yang terbaik di dunia mahupun akhirat. Malah ada kalanya kerana ekonomi sesebuah ummah itu berpecah belah dan sebagainya. Oleh itu, Hendaklah kita bersikap lebih matang dan professional dalam menjalankan perniagaan dan sebagainya dengan cara Islam untuk menjadi ummah yang kuat serta mendapat keredhaan Allah.

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK


Isu pendidikan anak-anak sangat menarik minat untuk diperkatakan kerana ianya membabitkan ibu bapa dan anak-anak itu sendiri. Jika dilihat anak-anak merupakan amanah Allah s.w.t yang diberikan kepada ibu bapa. Mereka bertanggungjawab untuk membentuk dan mencorakkan anak-anak mereka sama ada untuk menjadi insan yang berguna atau sebalikknya.

Jika dilihat pada hari ini, ibu bapa lebih banyak menghabiskan masa untuk menguruskan urusan mereka sendiri tanpa mempedulikan anak-anak sebalikkan urusan mendidik anak-anak diserahkan kepada pihak sekolah dan pembantu rumah secara bulat-bulat. Semakin hari dilihat semakin terhakis tanggugjawab mendidik anak-anak. Maka, tidak hairanlah apabila lahirlah ramai anak-anak yang membesar tanpa perhatian dan didikan daripada ibu bapa mereka sendiri.

Anak-anak yang kehausan didikan, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mudah memberontak dan melakukan sesuatu tindakan tanpa dijangka. Apabila perkara ini terjadi, maka ibu bapa mula menyalahkan pihak lain sedangkan anak-anak tersebut adalah anak mereka sendiri. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memukul anak-anak sedangkan itu bukanlah tindakan yang sepatutnya. sebaliknya ibu bapa terlebih dahulu perlu melihat apakah kesalahan mereka dalam mendidik anak-anak sehingga anak-anak menjadi seperti itu dan bukannya menyalahkan pihak lain semata-mata.

Perlu disedari jika terjadi sesuatu yang kepada anak-anak tersebut maka ibu bapalah yang perlu dipertanggungjwabkan serta segalanya akan kembali kepada ibu bapa itu tadi dan bukannya kepada pihak yang lain. Di dalam Islam, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka sendiri disamping anak-anaknya mendapat pendidikan di sekolah. Ini penting kerana kadang kala ibu bapa telah memberikan didikan yang sempurna akan tetapi pengaruh luar seperti rakan sebaya, persekitaran akan mengubah anak-anak tersebut. Oleh itu ibu bapa perlu sentiasa mendampingi anak-anak dan cuba memahami masalah mereka. Cara terbaik iaitu ibu bapa cuba menjadi kawan kepada anak-anak mereka sendiri
.

ISU AKIDAH



Pentingnya Akidah Kepada Umat Islam kerana Iman adalah harta yang sangat bernilai dan ia bukan sesuatu yang boleh diwarisi atau dijual beli, tetapi ia adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara. Kerana itulah, Nabi Yaaqub Alaihissalam sekalipun bernasabkan para nabi dan memiliki keturunan di kalangan para nabi tetapi mereka cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucunya. Ini diceritakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 133 yang mana maksudnya:

"Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi".

Akidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Jika akidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia sahaja, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbia’ ayat 94 yang maksudnya berbunyi:

"Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya".

Namun, pada masa kini kepentingan akidah kurang diambil perhatian oleh sebilangan umat Islam. Apa yang mereka lebih bimbangkan ialah nasib anak bangsa dan anak cucu mereka setelah mereka tiada nanti akan menjadi miskin harta dan tanah. Tetapi adakah ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini yang bimbangkan nasib anak cucu mereka jika mereka miskin iman dan jiwa?

Lebih malang lagi, apabila kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak menghiraukan tentang anak-anak mereka apabila anak-anak telah memasuki alam remaja. Soal solat, puasa tidak diambil kisah. Malah ibu bapa sendiri juga tidak melakukan solat dan tidak melaksanakan ibadah puasa.Ibu bapa lebih senang menunjukkan perlakuan yang tidak ada nilai keislaman. malah yang lebih teruk lagi ada yang malu untuk menonjolkan cara kehidupan Islam kerana takut diejek oleh orang lain. mereka lebih mengagung-agungkan nilai kebaratan,Mereka sibuk untuk mengejar harta kekayaan bagi memiliki kehidupan yang mewah. Kehidupan mereka ini seolah-olah tiada pegangan serta bagi mereka soal akidah dan pegangan langsung tiada dalam kamus hidup mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah hidup mesti mengikut arus perubahan dan jika tidak, maka akan ketinggalan.

Apabila perkara ini terjadi, maka tidak hairanlah anak-anak mula terjebak dengan perkara-perkara yang tidak senonoh dan membimbangkan seperti black metal dan sebagainya. Manakala ibu bapanya pula terjebak dengan ajaran sesat kerana dalam kesibukan mereka mencari kehidupan dunia, mereka inginkan sesuatu yang mudah dan senang seperti soal solat, puasa, haji hanya dilakukan dengan niat semata-mata. Begitulah rencah kehidupan pada hari ini.

Kita yang berada di akhir zaman ini, sepatutnya lebih bimbang lagi akan keutuhan akidah anak-anak kita. Kita patut insaf betapa pentingnya akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir kesesatan.