Walaupun tidak seberapa mana pendapat dan idea yang ketengahkan di dalam blog, tetapi saya berasa gembira kerana dapat juga menyatakan pendapat dan berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan isu-isu semasa yang dibincangkan di dalam blog saya. Blog memberikan saya satu kepuasan bermula daripada membentuk blog sendiri sehinggalah kepada penulisan di dalam blog. Ia sememangnya memberikan saya satu pengalaman baru kerana jika sebelum ini, saya hanya mendengar tentang blog, tetapi tidak mengambil tahu tentangnya. Kini, saya telah mengetahuinya dan ia memberikan saya satu ilmu pengetahuan yang baru.
Tuesday, October 21, 2008
KONSEP BLOG SAYA...
Walaupun tidak seberapa mana pendapat dan idea yang ketengahkan di dalam blog, tetapi saya berasa gembira kerana dapat juga menyatakan pendapat dan berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan isu-isu semasa yang dibincangkan di dalam blog saya. Blog memberikan saya satu kepuasan bermula daripada membentuk blog sendiri sehinggalah kepada penulisan di dalam blog. Ia sememangnya memberikan saya satu pengalaman baru kerana jika sebelum ini, saya hanya mendengar tentang blog, tetapi tidak mengambil tahu tentangnya. Kini, saya telah mengetahuinya dan ia memberikan saya satu ilmu pengetahuan yang baru.
Isu Gejala Sosial....
Antara isu yang dari dulu hingga kini hangat diperkatakan iaitu pelajar IPT terutamanya yang beragama Islam terlibat dengan kes gejala sosial seperti seks bebas, pengambilan pil-pil khayal dan sebagainya. Selain itu juga, semakin ramai pelajar Islam yang menjejakkan kaki ke tempat-tempat syaitan seperti disco, pub, dan sebagainya. Mereka ini tanpa segan silu untuk melakukan aksi di hadapan orang awam seperti mabuk dan sebagainya walaupun mereka ini mempunyai status pelajar IPT dan yang lebih penting lagi pelajar yang beragama Islam.
Jika diperhatikan, aksi mereka ini melebihi pelajar yang bukan beragama Islam. sebagai contoh rata-rata pelajar IPT sudah mempunyai couplenya sendiri dan mereka ini tanpa segan silu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan seperti mencium pasangannya, peluk memeluk, berpegangan tangan dan lebih dasyat lagi mereka sanggup tidur baring dengan pasangan mereka sedangkan mereka sedar bahawa mereka itu bukan muhrim, tetapi sayangnya mereka ini mementingkan nafsu semata-mata dan oleh kerana itu jugalah sebab utama menyebabkan pelajar Islam di IPT kurang berjaya berbanding pelajar yang beragama lain.
Apa yang dipersoalkan oleh kebanyakan orang awam iaitu mengapakah pelajar IPT terutamanya pelajar Islam boleh terjebak dengan gejala sosial seperti ini sedangkan mereka ada ilmu pengetahuan, mereka diajar tentang akhlak, mereka tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan sebagainya. Jika kita renungkan, walaupun mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, namun ilmu-ilmu tersebut tidak menjamin mereka daripada tidak terjebak dengan gejala sosial seperti ini. Hal ini kerana yang akan mengawal seseorang itu daripada terjebak dengan gejala sosial adalah diri mereka sendiri, iaitu dalaman mereka sendiri, jika dalamannya bersih dan suci, maka secara tidak langsung perlakuan yang ditonjolkan baik tetapi jika sebaliknya, maka perlakuannya sama seperti orang yang tiada ilmu pengetahuan.
Jika kita lihat kepada statistik kes gejala sosial, yang teratas sekali kedudukannya adalah orang melayu yang sudah tentunya beragama Islam. sedangkan penganut agama lain dibawahnya. Ini sangat memalukan umat Islam dan lagi menyedihkan jika yang terlibat itu adalah pelajar IPT yang mana mereka ini menjadi harapan kepada agama, bangsa dan negara untuk memimpin masyarakat yang lain.
Isu Pembentukan Keluarga Bahagia....
Bapa selaku ketua keluarga perlu memainkan peranannya dan menjalankan tanggungjawab terhadap kelurga. Sebagaimana di dalam hadis yang menyatakan :
“Setiap kamu adalah merupakan pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin”.
Tanggungjawa sebagai seorang suami dan bapa merupakan tanggungjawab yang begitu berat dan ianya merupakan satu amanah Allah s.w.t yang mesti ditunaikan. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Tahrim ayat 6, yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.
Begitu juga dengan ibu yang patut menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada suami dan seorang ibu kepada anak-anak. Selain daripada itu juga, isteri perlu tahu tanggungjawab suami , ini kerana apabila terjadi sesuatu perkara, maka isteri perlu mengambil alih tanggungjawab seorang suami dan bapa.
Tanggungjawab yang paling besar adalah membina sebuah keluarga yang bahagia mengikut lunas-lunas Islam. Isu yang sering kita dengar pada hari ini kegagalan ibu bapa dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Ini semua adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa itu sendiri dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jika kita renungkan dalam sebuah rumahtangga juga perlu ada perancangan dan strategik yang baik untuk membina keluarga yang bahagia, yang mana perancangan dan strategik tersebut dikendalikan oleh nakhoda dan pembantunya yakni ibu dan bapa.
Kesimpulannya, berjaya atau tidak pembentukan sebuah keluarga yang harmoni adalah bergantung kepada ketua keluarga itu sendiri, jika baik, maka keseluruhan ahli keluarganya juga akan baik, dan jika sebaliknya maka, kehancuranlah pengakhirannya.
Isu Pengabaian Anak-Anak....
Kita sering kali mendengar anak-anak yang terlibat dengan gejala sosial seperti seks bebas, pengambilan pil-pil khayal, lari rumah, menjadi pelacur dan sebagainya. Isu-isu seperti ini jika dilihat tidak pernah hilang malah semakin hari semakin bertambah di media massa, media elektronik dan sebagainya. Malah kewujudan pusat-pusat pemulihan akhlak, pusat perlindungan, pusat serenti dan sebagainya juga turut bertambah. Ini secara tidak langsung menyatakan kepada kita bahawa kes-kes gejala sosial di negara kita ini semakin bertambah.
Apabila perkara ini diselidiki, didapati faktor utama yang menyebabkan anak-anak mudah terjebak dengan gejala sosial ini adalah kerana pengabaian daripada ibu bapa mereka sendiri. Perlu diingat anak-anak inginkan perhatian, kasih sayang, bimbingan serta didikan daripada ibu bapa dan bukannya inginkan kemewahan semata-mata.
Kesilapan ibu bapa pada hari ini iaitu mengabaikan anak-anak mereka, yang mana ada segolongan ibu bapa yang berpendapat bahawa anak-anak ini perlu diberikan kebebasan di samping menyediakan keperluan terutamanya kewangan yang mencukupi kepada anak-anak. Bagi ibu bapa yang mempunyai sikap seperti ini, mereka juga beranggapan bahawa anak-anak tidak suka dikongkong dan mereka beranggapan anak-anak perlu diberikan pendedahan kepada dunia luar supaya mereka pandai berdikari sendiri.
Pendapat yang dilontarkan itu betul akan tetapi anak-anak memerlukan perhatian dan pengawasan daripada ibu bapa mereka. Disamping ibu bapa juga perlu memberikan kepada anak-anak mereka batasan-batasan yang sepatutnya. Ini penting agar anak-anak tidak mudah terpedaya dengan anasir-anasir luar seperti pengaruh rakan sebaya, pengaruh persekitaran dan sebagainya.
Disamping itu juga, ibu bapa sepatutnya memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak mereka terutamanya berkaitan dengan kehidupan. Anak-anak yang mendapat perhatian, kasih sayang, bimbingan dan pendidikan daripada ibu bapa mereka lebih berhati-hati dan masih boleh mengawal keadaan diri mereka. Ini berbeza dengan mereka yang diabaikan oleh ibu bapa dan kehidupan mereka hanya dilimpahi dengan kemewahan. Mereka ini, mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif, liar dan tiada perasaan takut sekiranya terjadi apa-apa kepada mereka kerana bagi mereka, apa-apa yang terjadi kepada mereka tidak akan dipedulikan oleh sesiapa terutamanya ibu bapa sendiri.
Manusia = Haiwan ?????
Keadaan masa kini memperlihatkan kepada kita bahawa semakin hari, semakin sedikit jumlah umat Islam yang menghayati Islam. Hal ini kerana jika kita lihat pada masa kini, saban hari pelbagai isu dan masalah yang timbul di kalangan umat Islam itu sendiri sehinggakan sampai satu tahap di mana, umat Islam Seluruhnya tidak tahu apakah tindakan yang wajar dilakukan.
Apabila diselidik, semua masalah dan isu-isu ini sebenarnya timbul akibat tiadanya penghayatan oleh umat Islam terhadap ajaran agama Islam itu sendiri. Jika Islam itu tidak dihayati oleh umat Islam, maka jadilah umat Islam itu, umat yang sentiasa dilanda masalah dan secara tidak langsung juga akan membentuk akhlak yang buruk. Sebagai contoh yang boleh dilihat pada masa kini, dimana tindakan seseorang manusia itu boleh bertukar seumpama tindakan seekor haiwan yang seolah-olah tidak mempunyai akal untuk berfikir. Ini terbukti di media massa yang mana, saban hari kita diperlihatkan dengan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang muslim terhadap muslim yang lain. Contohnya dengan mudah seseorang muslim itu membunuh saudaranya sendiri, seorang bapa sanggup mencabul kehormatan anaknya sendiri, seorang ibu sanggup melacurkan anaknya sendiri, seorang suami sanggup melihat isteri serta anak-anak mati di depan matanya dan sebagainya.
Contoh-contoh di atas membuktikan kepada kita bahawa Islam itu semakin lama, semakin kurang dihayati. Ini kerana, jika umat Islam itu sentiasa menghayati ajaran agama Islam, tindakan yang dilarang di dalam agama Islam tidak dapat kita lihat pada hari ini serta kita akan hidup dengan aman dan harmoni disamping mengamalkan nilai-nilai Islam hasil daripada penghayatan terhadap ajaran agama Islam.
Isu Ajaran Sesat Di Kalangan Umat Islam...
Dunia kini semakin maju segala benda ingin dikejar tanpa difikirkan terlebih dahulu adakah sesuatu yang ingin dilakukan itu dibenarkan di dalam Islam dan adakah tindakan tersebut selaras dengan apa yang terkandung di dalam ajaran Islam. Kehidupan hari ini telah berubah, semakin ramai orang cerdik pandai semakin ramai orang yang mengamalkan ajaran sesat.
Isu ajaran sesat bukanlah isu yang baru ingin diperkatakan, akan tetapi ianya merupakan isu yang sudah lama dan ianya juga telah diketahui umum. Apa yang peliknya disini, walaupun sudah mengetahui tentang ajaran sesat tersebut, tetapi malangnya ajaran sesat ini tetap mendapat perhatian daripada sesetengah golongan umat Islam. sungguh sedih kita mendengarnya walaupun ajaran agama Islam ini tidak sesekali membebankan umatnya, namun terdapat juga segelintir umat Islam yang merasakan ajaran Islam ini susah untuk dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian mereka. Bagi mereka ada sahaja peraturan-peraturan dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam, terutamanya berkaitan solat dan puasa.
Jika kita renungkan sejenak, mengapakah penganut agama Islam ini terlalu sukar untuk mematuhi ajaran agama Islam itu sendiri sedangkan ajaran agama Islam inlah yang paling mudah untuk dilaksanakan berbanding ajaran agama-agama lain. Tambahan pula sudah diketahui bahawa agama Islam ini merupakan agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t. Apa yang dapat kita lihat pada hari ini, penganut agama lain begitu sukar untuk meninggalkan agama mereka sendiri walaupun telah jelas di depan mata mereka bahawa agama yang mereka anuti tersebut tidak mempunyai matlamat akhir. Kita sebagai umat Islam sepatutnya memiliki sifat seperti penganut agama lain yang begitu setia pada agama mereka sendiri walau apa pun yang terjadi.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan mereka tertarik dengan ajaran sesat ini kerana ajaran ini tetap melaksanakan apa yang disuruh di dalam agama Islam akan tetapi ianya sangat mudah, yang mana mereka hanya perlu kepada niat semata-mata dalam menunaikan ibadah tersebut konon-kononnya bersandarkan kepada hadis yang berbunyi:
“Setiap amalan itu dimulai dengan niat”
Terdapat segelintir pengamal ajaran sesat ini, apabila ditanya tentang solat misalnya, mereka tanpa segan silu menyatakan “saya sudah solat, saya berniat solat sahaja, Islam itukan sangat mudah seperti mana yang terdapat di dalam hadis setiap perbuatan mestilah dimulai dengan niat” wujud juga diantara mereka yang berani berdebat dengan orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Kadang-kala kasihan melihat golongan yang mengamalkan ajaran sesat ini. sudahlah tidak mengetahui akan sesuatu perkara tersebut ditambah pula dengan ajaran yang sesat yang mereka pelajari bertambahlah kesesatan mereka itu. Semoga kita dijauhkan daripada perkara ini..Nauzubillahi min zalik
Thursday, October 16, 2008
ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT

Adalah menjadi suatu yang sangat gembira kepada ibu dan bapa apabila anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Jika kita lihat kebiasaannya, anak-anak yang ingin pergi dan tinggal berjauhan daripada ibu bapa, mereka akan diberi nasihat yang pelbagai. Nasihat pertama yang sering kita dengar iaitu "jangan tinggalkan solat", jangan lupa baca quran dan sebagainya.
Bagi sesetengah mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bandar, mereka seolah-olah mendapat kejutan budaya dan bermula dari sinilah mereka akan berubah sedikit demi sedikit disamping mereka mendapat pengaruh daripada rakan-rakannya. Kebiasaannya mereka akan mula mencuba sesuatu yang mereka tidak pernah cuba sebelum ini. Lebih malang lagi, apabila pegangan mereka yang selama ini mereka pelajari dan pegang telah hilang sedikit demi sedikit. Maka tidak hairanlah, jika wujud segolongan pelajar Islam yang menuntut di institusi pengajian tinggi mempunyai fahaman agama yang terpesong jauh daripada ajaran agama Islam yang sebenar.
Terdapat dikalangan pelajar Islam di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat walaupun sebelum ini pelajar tersebut ada pengetahuan agama Islam yang sempurna. Jika diselidiki, perkara ini terjadi, berpunca daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran mereka. Sungguh sedih jika melihat mereka ini, hari demi hari, mereka semakin sesat dan golongan yang ingin memperbetulkannya pula tiada dan jika sekali pun ada mereka tidak berani atas dasar takut mereka juga terjebak dengan ajaran sesat itu.
Apa yang sepatutnya dilalukan ialah kerajaan mewujudkan satu badan sukarelawan yang akan sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi yang mengamalkan ajaran sesat disamping mendapat bantuan dan kerjasama daripada pihak institusi pengajian tinggi tersebut dan pelajar-pelajar yang lain. Pelajar-pelajar yang mengamalkan ajaran sesat ini perlu diperbetulkan akidahnya disamping memberikan bimbingan dan cuba menyelami keadaan mereka ini.
Perkara ini perlulah diambil perhatian yang sewajarnya kerana pelajar-pelajar Islam di institusi pengajian tinggi inilah yang nantinya akan menjadi pemimpin yang akan memimpin bukan sahaja negara malahan juga memimpin masyarakat yang berada di dalamnya suatu hari nanti.
ISU ILMU-ILMU ISLAM

“menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”.
Menuntut ilmu tidak hanya terbatas pada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan dituntut kepada kita untuk mempelajari segala ilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Malahan ilmu-ilmu yang kita perolehi itu tadi di suruh pula untuk diamalkan dalam menjalani kehidupan seharian di atas muka bumi ini.
Apa yang ingin dikatakan di sini, ada segelintir di kalangan umat Islam yang mempunyai fikiran yang tidak terbuka. Pada pandangan mereka ilmu-ilmu yang patut dan penting dipelajari adalah ilmu agama dan ilmu dunia adalah bersifat merapu, adakah kenyataan ini betul? . pada pandangan saya, ilmu agama itu sememangnya penting akan tetapi ilmu yang berkaitan masyarakat, kehidupan dan sebagainya juga adalah penting. Di sini yang membezakan kita sebagai umat Islam ialah kita meletakkan ilmu agama sebagai yang pertama dan menjadikan ilmu agama itu sebagai asas yang kukuh dalam diri sendiri disamping menuntut ilmu-ilmu yang lain.
Jika kita hanya mementingkan ilmu agama sahaja dan megenepikan ilmu-ilmu yang lain, maka kita akan ketinggalan dalam arus pemodenan. Begitu juga jika kita hanya mementingkan ilmu yang lain tanpa ada sedikit pun ilmu berkaitan agama, maka kemungkinan kita akan sesat walaupun kita mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dalam bidang-bidang yang lain.
Masalah umat Islam kini, mereka mementingkan ilmu dunia dan ilmu agama diketepikan dengan beranggapan ilmu agama sentiasa ada sahaja dan ilmu dunia jika tidak dikejar akan ketinggalan tambahan pula ilmu agama hanya untuk kegunaan dalam hal-hal tertentu sahaja. Selain itu, terdapat juga sebahagian umat Islam, yang mana mereka ini mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak akan tetapi tidak digunakan dan dimanfaatkan dengan sepatutnya. Terdapat juga, pada masa kini orang yang mengamalkan ilmu hitam dan sebagainya untuk tujuan yang tidak berguna dan semata- mata untuk kepentingan diri sendiri. Apabila perkara ini terjadi seolah-olah semua ilmu pengetahuan yang dipelajari dan dituntut selama ini tidak membawa apa-apa makna kepada tuan yang menuntut itu tadi malah menjadikan mereka ini golongan yang sesat lagi menyesatkan.
kita sebagai umat Islam seharusnya mempelajari semua ilmu yang ada selagi mana ilmu-ilmu tersebut tidak bertentang dengan apa yang di suruh oleh Allah dan rasul. Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan ilmu-ilmu tersebut perlu diamalkan agar kita menjadi umat yang kuat dalam menghadapi segala perubahan keadaan serta menjadi umat yang ditakuti oleh musuh-musuh Islam.
ISU UNDANG-UNDANG ISLAM

Islam adalah agama yang cukup sempurna kerana ianya satu-satu agama yang menyediakan undang-undang yang cukup sempurna dan meliputi semua aspek kehidupan. Dasar undang-undang Islam seperti mana yang kita ketahui adalah berdasarkan dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Pada zaman Rasulullah s.a.w, undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang Islam seperti mana yang terkandung di dalam dua sumber tersebut. Apa yang uniknya undang-undang Islam iaitu ianya sangat bersesuaian pada semua masa dan ketika serta ianya tidak luput ditelan zaman.
kini, segalanya telah berubah, apabila negara kita dijajah, terutamanya oleh pihak Inggeris, undang-undang negara mengalami perubahan yang sangat ketara iaitu dari aspek kerangka dan teknikal. Di sinilah bermulanya sistem dualisme dalam perundangan negara yang mengandungi undang-undang Islam dan undang-undang sivil.Walaupun demikian, undang-undang Islam ini telah melalui proses penapisan supaya menepati hukum syarak. Dan kesemua undang-undang Islam yang ada telah meletakkan rujukan muktamad kepada hukum syarak sebagai pengiktirafan terhadap kedaulatannya.
Pada ketika ini juga, jika kita lihat umat Islam berbalah-balah tentang undang-undang yang sedia ada. Bagi golongan yang berfikiran moden, apabila ditanya wajarkan undang-undang Islam pada ketika ini, maka, mereka dengan lantang menyatakan undang-undang Islam yang lama tidak sesuai lagi pada masa kini dan zaman juga telah berubah. Manakala bagi golongan yang extrem agama pula, mereka menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sepatutnya menjalankan undang-undang Islam. inilah yang menjadi masalah kepada kita semua. Walau bagaimanapun kita tidak sepatutnya memberikan pandangan dengan lantang tanpa memikirkan kebaikan dari semua sudut.
Setiap apa yang ingin diperkatakan hendaklah difikirkan terlebih dahulu kerana yang akan menggunakan undang-undang tersebut semua masyarakat dan ianya mestilah mendapat persetujuan ramai. Ini bukanlah membawa maksud yang undang-undang Islam itu tidak boleh dijalankan, akan tetapi ia memerlukan satu usaha dan kerjasama daripada semua umat Islam untuk menegakkan undang-undang yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia. Jika sesama umat Islam pun tiada kata sepakat, bagaimanakah untuk mewujudkan sesuatu yang dasarnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, sudah tentu ianya tidak berjaya.
ISU POLITIK ISLAM

Hal ini diakui sendiri oleh para orientalis antaranya pendapat yang dikemukakan oleh Dr. V. Fitzgerald "Islam bukanlah semata-mata agama tetapi juga merupakan sebuah sistem politik. Meskipun pada dekad-dekad yang terakhir ini terdapat segelitir daripada kalangan umat Islam, yang berusaha memisahkan antara keduanya, namun jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya saling bergandingan dan tidak dapat dipisahkan". Pandangan lain, yang dikemukakan oleh Prof. C. A. Nallino "Muhammad telah membangunkan dua perkara dalam satu masa iaitu agama dan negara serta kedua-duanya terpelihara sepanjang hayat Muhammad".
Malangnya apa yang terjadi pada hari ini, ada yang mengatakan "agama adalah satu hal, dan politik adalah hal lain". Terdapat juga segelintir umat Islam yang menjalankan politik kotor demi kepentingan diri sendiri tanpa mengambil kira apa yang akan terjadi di hari kemudian. kini, mereka yang terlibat dengan politik, apabila nama mereka mula naik, mereka seolah-olah lupa segala-galanya apa yang mereka pentingkan hanyalah kuasa dan pangkat semata-mata. Ini berlainan dengan seseorang yang mempunyai nilai keislaman di dalam dirinya, yang mana mereka ini akan amanah terhadap tanggungjawab yang dipikul serta jauh sekali untuk dengki dan tamak terhadap pangkat dan kedudukan. Jika kita lihat sekarang, negara tidak dapat menyediakan satu politik Islam yang kukuh kerana masalah perpecahan dan pergaduhan antara satu sama lain terutamanya sesama umat Islam. Mereka tidak pernah ada perasaan ingin memaafkan bahkan terus-menerus bermusuhan semata-mata ingin menguasai politik.
ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM

Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana nilai nilai Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalam jiwa, diri dan peribadi ahli keluarga. Melalui institusi ini generasi muda diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan menghayatinya. Suasana ini akan wujud di dalam sebuah keluarga dalam masyarakat Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka adalah berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah semata mata. Di samping itu juga terdapat hak-hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga yang diatur dengan begitu saksama dan adil oleh Islam. Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati atau mementingkan diri sendiri tidak mendapat tempat di dalam sebuah keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kerjasama dan perpaduan antara ahli ahli keluarga.
Kini, jika dilihat hanya segelintir sahaja daripada umat Islam yang benar-benar berjaya membentuk sebuah keluarga Islam yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Jika kita lihat lagi, bukannya keluarga yang tidak berjaya membina sebuah keluarga Islam itu adalah keluarga yang mundur bahkan mereka inilah boleh dikatakan lebih berjaya daripada yang lain. mereka ini berjaya membina keluarganya yang tersendiri akan tetapi sayang seribu kali sayang, keluarga yang dibina tersebut ialah keluarga yang sosial dan penampilan serta perilaku ahli-ahlinya tidak mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar.
Tanggungjawab untuk membina sebuah keluarga Islam amatlah besar dan berat kerana ianya memerlukan sedikit pengorbanan daripada setiap ahli keluarga. Keluarga Islam yang diinginkan ialah sebuah keluarga yang bukan hanya menjaga batas-batas Islam akan tetapi mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat disekelilingnya serta mampu bergaul bersama masyarakat disekelilingnya dengan sempurna, dalam erti kata lain dalam agama bijak dan dalam bersosial juga bijak.
ISU PENGHAYATAN ISLAM

Kenapa perlunya kita kepada menghayati Islam? Kita perlu menghayati Islam kerana apabila kita menghayati setiap apa yang diajar di dalam Islam, maka sekali gus kita akan mengamalkannya sekali pun tidak secara keseluruhan tetapi tetap ada dan ia menjadi benteng untuk kita mempertahankan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta setiap tindakan kita juga akan berlandaskan kepada lunas-lunas Islam.
Walau bagaimanapun, untuk menghayati Islam dengan sebenarnya bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana ia memerlukan kepada usaha memahami Islam itu secara mendalam berdasarkan kepada ajaran di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apabila kita dapat memahami dengan baik maka kita akan dapat menghayatinya pula. Proses menghayati Islam itu boleh dinyatakan seperti berikut iaitu bermula dengan peringkat mempelajari. Kemudian, memahami apa yang telah dipelajari. Seterusnya, menghayatinya pula. Apabila kita telah menghayatinya dengan sempurna maka perkara yang dihayati itu tadi akan terkesan dalam diri individu tersebut.
Jika dilihat pada ketika ini, kebanyakan umat Islam mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam tentang ajaran Islam akan tetapi apabila tidak dihayati maka, segalanya tidak mempunyai makna dan setiap tindakan yang dilakukan juga bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri walaupun pada hakikatnya mereka mengetahui hukum hakamnya malahan tanpa segan silu melakukan sesuatu yang dilarang di dalam ajaran agama Islam.
ISU NEGARA ISLAM

Justeru itu, maka tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan negara Islam yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak negara Islam kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam mereka tidak memahami tentang negara Islam yang sebenar. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan negara Islam itu sendiri.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu negara Islam sering disalahtafsirkan. Negara Islam tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan minoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah s.a.w di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa negara Islam pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.
Isu negara Islam bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan negara Islam tidak popular di zaman Nabi Muhammad s.a.w mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air iaitu negara Islam pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim itu sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi:
“tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri”
dan ikuti dengan menegakkan negara Islam dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Islam itu supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang negara Islam yang dimaksudkan serta mampu berbicara dan berhujah mengenainya,. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa :
“Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172)
ISU EKONOMI ISLAM

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memastikan sumber ekonomi yang diperolehinya itu datangnya dari sumber yang halal dan sumber tersebut diuruskan dengan cara yang terbaik demi kemajuan negara, jika tidak maka akan berlaku kemunduran dan kejatuhan ummah.
Kini, dapat kita lihat sejauh mana perkembangan ekonomi Islam itu sendiri. Untuk melihat Islam berjaya dalam ekonomi kita perlu kepada penguasaan ilmu, politik dan sebagainya. Kerana jika kita tidak menguasainya maka kita akan sentiasa bergantung kepada bangsa lain.
Mencari sumber ekonomi yang halal adalah salah satu jihad di dalam Islam, di dalam kesibukan mencari sumber ekonomi negara, seseorang pemimpin itu perlulah bertanggungjawab dalam memastikan negara mendapat sumber ekonomi yang halal yang sudah semestinya jauh daripada unsur riba’ dan ketidakpastian . malangnya, jika kita lihat pada hari ini, boleh dikatakan negara kita tidak dapat lari daripada kedua-dua unsur tersebut. Malah, dalam perniagaan yang dijalankan oleh orang Islam sendiri juga terdapat unsur riba’ dan penipuan. Unsur-unsur ini seolah-olah telah menjadi sebati dalam kehidupan sesetengah umat Islam dan boleh dikatakan mereka kenyang dengan sumber ekonomi yang datangnya daripada unsur-unsur diatas.
Golongan-golongan atasan pula, mereka tidak dapat lari dari menerima rasuah walaupun mereka ini bukan datangnya daripada golongan bawahan dan yang paling penting bukannya kehidupan mereka susah seperti golongan bawahan akan tetapi mereka tetap suka menerima rasuah. Menerima rasuah bagi mereka seolah-olah suatu adat dan kebiasaan sedangkan mereka tahu perkara tersebut adalah satu dosa akan tetapi kemahuan nafsu telah mengatasi dosa dan pahala. Gara-gara ingin mengejar kemewahan, dan ingin berlumba dalam mencari harta dunia, dari mana datangnya sumber ekonomi yang diperolehi tidak dihiraukan.
Hadis riwayat At-Thobrani menyatakan;
“Kesengsaraan yang paling sengsara adalah miskin di dunia dan disiksa di akhirat.”
Kita hendaklah kuat dalam ekonomi kerana tanpa harta umat Islam tidak mampu menjadi umat yang terbaik di dunia mahupun akhirat. Malah ada kalanya kerana ekonomi sesebuah ummah itu berpecah belah dan sebagainya. Oleh itu, Hendaklah kita bersikap lebih matang dan professional dalam menjalankan perniagaan dan sebagainya dengan cara Islam untuk menjadi ummah yang kuat serta mendapat keredhaan Allah.
ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Jika dilihat pada hari ini, ibu bapa lebih banyak menghabiskan masa untuk menguruskan urusan mereka sendiri tanpa mempedulikan anak-anak sebalikkan urusan mendidik anak-anak diserahkan kepada pihak sekolah dan pembantu rumah secara bulat-bulat. Semakin hari dilihat semakin terhakis tanggugjawab mendidik anak-anak. Maka, tidak hairanlah apabila lahirlah ramai anak-anak yang membesar tanpa perhatian dan didikan daripada ibu bapa mereka sendiri.
Anak-anak yang kehausan didikan, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mudah memberontak dan melakukan sesuatu tindakan tanpa dijangka. Apabila perkara ini terjadi, maka ibu bapa mula menyalahkan pihak lain sedangkan anak-anak tersebut adalah anak mereka sendiri. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memukul anak-anak sedangkan itu bukanlah tindakan yang sepatutnya. sebaliknya ibu bapa terlebih dahulu perlu melihat apakah kesalahan mereka dalam mendidik anak-anak sehingga anak-anak menjadi seperti itu dan bukannya menyalahkan pihak lain semata-mata.
Perlu disedari jika terjadi sesuatu yang kepada anak-anak tersebut maka ibu bapalah yang perlu dipertanggungjwabkan serta segalanya akan kembali kepada ibu bapa itu tadi dan bukannya kepada pihak yang lain. Di dalam Islam, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka sendiri disamping anak-anaknya mendapat pendidikan di sekolah. Ini penting kerana kadang kala ibu bapa telah memberikan didikan yang sempurna akan tetapi pengaruh luar seperti rakan sebaya, persekitaran akan mengubah anak-anak tersebut. Oleh itu ibu bapa perlu sentiasa mendampingi anak-anak dan cuba memahami masalah mereka. Cara terbaik iaitu ibu bapa cuba menjadi kawan kepada anak-anak mereka sendiri.
ISU AKIDAH

"Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi".
Akidah juga adalah tunjang segala amalan dan benteng pertahanan yang kukuh daripada segala perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Jika akidah seseorang itu tidak betul, maka segala amalan yang dilakukannya menjadi sia-sia sahaja, manakala di akhirat pula akan dimasukkan ke dalam api neraka. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbia’ ayat 94 yang maksudnya berbunyi:
"Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya".
Namun, pada masa kini kepentingan akidah kurang diambil perhatian oleh sebilangan umat Islam. Apa yang mereka lebih bimbangkan ialah nasib anak bangsa dan anak cucu mereka setelah mereka tiada nanti akan menjadi miskin harta dan tanah. Tetapi adakah ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini yang bimbangkan nasib anak cucu mereka jika mereka miskin iman dan jiwa?
Lebih malang lagi, apabila kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak menghiraukan tentang anak-anak mereka apabila anak-anak telah memasuki alam remaja. Soal solat, puasa tidak diambil kisah. Malah ibu bapa sendiri juga tidak melakukan solat dan tidak melaksanakan ibadah puasa.Ibu bapa lebih senang menunjukkan perlakuan yang tidak ada nilai keislaman. malah yang lebih teruk lagi ada yang malu untuk menonjolkan cara kehidupan Islam kerana takut diejek oleh orang lain. mereka lebih mengagung-agungkan nilai kebaratan,Mereka sibuk untuk mengejar harta kekayaan bagi memiliki kehidupan yang mewah. Kehidupan mereka ini seolah-olah tiada pegangan serta bagi mereka soal akidah dan pegangan langsung tiada dalam kamus hidup mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah hidup mesti mengikut arus perubahan dan jika tidak, maka akan ketinggalan.
Apabila perkara ini terjadi, maka tidak hairanlah anak-anak mula terjebak dengan perkara-perkara yang tidak senonoh dan membimbangkan seperti black metal dan sebagainya. Manakala ibu bapanya pula terjebak dengan ajaran sesat kerana dalam kesibukan mereka mencari kehidupan dunia, mereka inginkan sesuatu yang mudah dan senang seperti soal solat, puasa, haji hanya dilakukan dengan niat semata-mata. Begitulah rencah kehidupan pada hari ini.
Kita yang berada di akhir zaman ini, sepatutnya lebih bimbang lagi akan keutuhan akidah anak-anak kita. Kita patut insaf betapa pentingnya akidah dalam menentukan nasib dan maruah bangsa. Sebagai umat Islam yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, kita hendaklah menjadi masyarakat Islam yang memelihara dan menegakkan akidah dan syariat Islam. Bagi memelihara dan memperkukuhkan akidah pula ia hendaklah dibina atas dasar iman yang kukuh, dibajai dengan ilmu dan amal serta dipelihara dari dicemari oleh sebarang serangan anasir kesesatan.